Majlis Pengijazahan Darussyifa' Malaysia | Bandar Baru Bangi -Sabtu, 11 Januari 2020 Imam1 - Masjid Jamek Dato' Klana Petra Sendeng Ampangan Petugas | Guru Agama Umrah RAYHAR #htmlcaption2 Stay Connected

Isnin, 23 November 2020

PERGINYA TN.GURU YANG DIKASIHI

 Coretan Setelah 15 Tahun Arwah Ayahanda Meninggalkan Kami

 Nukilan:
Muhd Taftazani bin Atiqullah
6 Februari 2019

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10217132106925267&id=1547259336

 


Kisah sehari sebelum Arwah Ayahanda TG Haji Atiqullah bin Hj. Yaacob di jemput mengadap Ilahi.

Di pagi Khamis yang hening, tanggal 5 februari 2004M bersamaan 14 Zulhijjah 1424H abah memanggilku lalu berkata
"gi panaskan enjen kereta, tunggu dalam kereta, kita pergi ke Hospital Perdana Kota Bharu" .
Arahan seperti ini amat biasa pada ambo yang selalu menjadi drebar arwah Ayahanda, kerana kediaman abah tak pernah sunyi dari dikunjungi oleh mereka yang nak berubat dengan abah(seorang pengamal perubatan Islam). Sebab itu kalau nak ke mana-mana abah suruh ambo tunggu siap-siap dalam kereta. Takut sampai lagi orang lain, sampai sudah tak dapat nak ke mana-mana.

Pagi tu ambo berasa hairan dan agak pelik sebab abah pertama kali memilih untuk duduk di belakang(bagaikan VVIP), ambo jadi drebar, sebelah ambo adalah Saudara Zul(di kenali Zul muallaf) yang merupakan anak murid abah. Bertolak kami bertiga ke hospital Perdana Kota Bharu lebih kurang jam 10 pagi.



Sampai di sana, kami di sambut dengan penuh santun oleh kakitangan hospital, sementara menunggu Doktor datang memeriksa abah, ambo hanya memandang abah yang berada di atas katil hospital, dan spontan ambo tanya “berapa hari abah nak duduk spital? “ abah jawab "duduk la sehari dua". Ambo tengok abah tenang, dan ambo sendiri agak kekok kerana ini kali pertama ambo menemani abah di hospital kerana sebelum ni abah bukan 'peminat hospital'. Kalau sakit pun biasa ke klinik sahaja, tak sampai ke hospital apatah lagi bermalam di sana. Walaupun abah pernah sekali sebelum itu masuk hospital kerana kemalangan, namun ketika itu ambo masih belajar di Mesir, tidak berkesempatan menjaga abah di hospital, hanya mampu menitipkan doa dari bumi Anbia'. Pernah juga abah tergelincir dari tangga surau TG Haji Abdul Aziz, menyebabkan kepalanya bengkak dan darah keluar dari hidung dan mulut. Itulah insiden yang benar-benar ambo tak dapat lupakan. Berminggu-minggu juga muka abah bengkak, sampai tak kenal rupa asal, itupun abah tak nak ke hospital, diminta ambo ke klinik Prihatin Peringat untuk jemput Doktor(kenalan abah) datang ke rumah untuk merawat.

Bila disahkan abah kena masuk wad, ambo hantar sms kepada Abang-abang dan kak Suhaila Atiqullah , zaman itu wasap tak wujud lagi. Masih segar diingatan ini, ketika menemani di sebelah katil abah, abah ambil telefon nokia 3220 dan menelefon adik beradiknya yang lain. Yang ambo masih ingat ucapannya ketika menghubungi kakak sulungnya yang ambo panggil Mek(mek Gong Serai) ialah
" Assalamualaikum, ni nak royat, kita loni kena tahan duk di rumah comel ni(merujuk kpd hospital), nok royat ni bukan nak suruh mari tengok, tapi skodar nak royat takut kalu tak royat tak kena pulak"
Begitu jg arwah abah menefon abangnya arwah Ayah Dah(Ubaidah) dan  adik-beradiknya yg lain. Bahasa yang abah gunakan agak kiasan. Ambo pun tersenyum mendengarnya. Apa tidaknya, istilah rumah besar, rumah comel itu adalah bangunan hospital tersebut. Tanpa menduga itulah ucapannya yang terakhir kepada adik beradiknya. Seolah dipendamkan derita sakitnya dari orang lain. Beberapa minggu sebelum itu pun abah pernah menyuruh ambo menghantarnya ke Masjid Pondok untuk menunaikan solat Jumaat, dari situ ambo dapat mengagak abah amat penat hingga tak boleh berjalan jauh-jauh. Meskipun jarak rumah dan masjid tidaklah sejauh mana. Malah itulah kali pertama dalam hidup abah menyuruh ambo menghantarnya ke masjid Pondok menaiki kereta Gallant miliknya. Ambo parking kereta sebelah rumah Ustaz Abu Bakar untuk mencari jarak terhampir dengan pintu masjid. Biasanya abah hanya berjalan kaki sahaja. Tanda keuzuran makin dirasai.

Pada waktu tengahari Abah bagitahu ambo" Bie balik la dulu, duk sini pun boleh tgk goni jah(abah menunjukkan ke arah screen komputer), scrin pulak memaparkan denyutan jantung abah, ambo tengok macam tikus tengok besi, tak faham apa 😬
ambo sengeh sebab tahu abah nampak ambo boring duk spital, bukan ada FB lagi zaman tu 😁

Masih segar diingatan ini, abah pesan "nanti datang sini balik bawa debu tanah ye, abah nak buat tayammum" begitulah Arwah Abah cukup menjaga solatnya walaupun dalam keadaan tidak dibenarkan turun dari katil, kerana wayar² disambung dibadannya untuk rawatan segera.

Selepas Isyak semua anak² Abah dan 3 orang cucu(kak Alia, kak Ngah dan abe afief) datang menziarahi abah di hospital, suatu suasana yg agak luar biasa kerana abah tak pernah masuk hospital kecuali sekali sebelum ini. Abah melihat cucunya abe Afief Abdul Latiff (sekarang sudah bergelar Al-Hafiz) yg masih kecil atas dokong, lalu dihulurkan tangan nak dukong cucunya. Walapun kakitangan hospital menghalang pada awalnya, kerana wad tersebut baby tak dibenarkan masuk. Tapi Alhamdulillah dibenarkan juga atas permintaan keluarga. Abah meriba cucunya walaupun dibadan dan tangannya penuh dengan wayar². Malam itu memang keluarga terdekat sahaja yang datang ziarah kerana berita abah masuk hospital memang tidak dihebahkan. Agak lama juga kami sekeluarga di hospital. Ambo yg asalnya nk menunggu abah dihospital pada malam tersebut, tapi Pok Sin(ank murid abah) kata malam ni bagi dia yang teman abah. Kali terakhir sebelum balik sekitar jam 12.00 mlm, ambo jengok sekali lagi abah dikatil hospital, waktu itu abah sudahpun lena. Tanpa menyangka itulah tatapan terakhir. Hanya memandang wajahnya tidur dengan tenang. Tanpa dapat menegur mahupun bersalaman 😢

Keesokan harinya, di pagi Jumaat yang mulia. Terkejutku dari tidur, mendengar panggilan telefon di Subuh yang hening, Pak Sin menelefon dari hospital
 " Bie, mari(datang) hospital sekarang, abah tak kaba(sedar), jatuh ketika Solat Subuh!" depp.. Talian diputuskan. Tiada kata² yang keluar kecuali doa mohon abah dipanjangkan umur. Disudut bilik Umi sudah siap dengan kain telekongnya, diatas sejadah sedang sedia untuk solat subuh. Aku kelu untuk memberitahu umi, takut Umi terkejut. Namun terpaksa juga kena bagitahu segera agar dapat kami ke hospital secepat mungkin, ku hampiri Umi
" Umi, Pok Sin telefon sakni, dia kata abah tak kaba, Umi smaye dulu lepas ni kita gi spital" sekadar itu yang ambo boleh bagitahu umi. Umi nampak tenang waktu itu.

Tidak lama selepas itu, Pok Sin telefon untuk kali kedua " Bie! Abah dah tak de..." mendengar berita tersebut, aku buntu, lidahku kelu tak tahu macammana nak sampaikan kepada adik beradik yang lain.

Ambo menelefon abang sulung Ustaz Ahmad Baihaki (yang ketika itu Adun Pasir Tumboh) namun tidak dijawab, berkali-kali pun sama, tak diangkat. Rupanya beliau ada program tazkirah subuh pada pagi itu di luar. Ambo sampaikan berita kepada abang ke 2 Ustaz Ahmad Syairazi Ibnu Atiq , awalnya nampak tenang, tapi langkahnya memberitahu kepada adik-adik yang lain( Ahmad Arrifaee dan Ahmad Azizi) dapat ambo saksikan beliau juga sepertiku. Kami sudah kehilangan 'wali keramat' , Dialah abah, Dialah guru kami.

Kakak ambo yang kebetulan berada dirumah umi ketika itu, kerana suaminya YB Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman ke Mekah pada masa itu, ku khabarkan berita ini, dia tengok bersungguh padaku, lantas dinafikan khabar dariku
" ye ke dah ninggal, takut tak kaba"
Berita pertama kata abah tak sedar, masih di pegang oleh kakakku dan adik-adik perempuan yang lain. Namun ambo mengesahkan perkhabaran kedua dari Pok Sin sejurus selepas itu adalah disahkan Abah sudahpun meninggalkan kami semua. Adik-adikku yang masih dibangku sekolah, Raihan Atiqullah , Salwani Putri Aurora dan Nor Wajihah Atiqullah tidak dapat mengawal perasaan lagi, masih ku ingat 3 puteri ini duduk  dikerusi di dapur, tiada kata.. Hanya tangisan, kesedihan, kesayuan. Jelas mereka belum dapat menerima hakikat sudah menjadi yatim 😭

Ust Syairazi memaklumkan berita ini di masjid Pondok, kemudian diumumkan oleh Ustaz Abu Bakar di masjid bahawa TG Hj Atiqullah sudah meninggal dunia, namun pengumuman itu awalnya kurang jelas, kerana beliau juga tidak dapat menahan kesedihan waktu itu, menyebabkan suaranya bercampur sebak, warga pondok menyaksikan.

Ketika aku bersama Umi, dan adik beradik lain bergegas ke hospital, Ustaz-ustaz dan pelajar-pelajar Pondok Pasir Tumboh datang menerpa ke rumah usai solat subuh di Masjid Pondok. Dimaklumkan jenazah masih di hospital Perdana Kota Bharu. Barulah warga Pondok tahu abah rupanya di hospital bukan di rumah. Sebahagian mereka berkejar juga ke hospital.

Sampai di hospital, kami bergegas ke katil yg menempatkan abah. Sayu dan sedih tidak dapat dibayangkan, wajah abah sudah diselimuti kain putih. Pok Sin masih setia di sisi membacakan Yasin, dengan surah Yasin masih ditangan. Yang ku tak dapat lupakan adalah keadaan Umi, yang belum tahu sebenarnya Abah sudah tiada. Umi tanya ambo "abah ke tu?" Lalu ku buka kain yang menutupi wajah abah. Umi perlahan-lahan ke sisi dan mengusap muka abah. Saat itu kami semua memahami perasaan Umi. Semua kami terpaku. Tiada lagi nasihat, senyuman daripada Abah kecuali pesanan-pesanan yang dibekalkan sewaktu hidupnya.

Tidak lama selepas itu, berduyun-duyun ustaz dan anak² Pondok Pasir Tumboh datang menziarahi arwah abah di hospital. Mereka tidak sabar menunggu kepulangan abah, akhirnya mereka yang terlebih dahulu 'menyerbu' hospital di pagi Jumaat yang mulia. Agak mengejutkan pihak dan penghuni hospital apabila pagi² lagi diserbu lelaki berjubah dan berserban memenuhi ruang hospital.

Dalam kekalutan itu, tiba-tiba abang sulung iaitu Ustaz Baihaki menghubungi ambo usai program tazkirahnya
 " Dok eh, guano ada ore telepon abe kate abah dah meninggal?"
 Ambo lantas menjawab " Dah betul la tu yang Abe dengar, Abah meninggal waktu solat subuh sakni".
Beliau masih tak percaya " Dok ehh.. Sah dah ke, acu gi tengok dulu!"
Ambo jawab lagi " ni duk spital dah la ni, memang sah dah, semua anak-anak ada di sisi abah, abah dah di balut kain putih".. Diam seketika, nada abangku yang agak tinggi tadi akhirnya tenang kembali, baru kedengaran suara bicaranya lagi "x pe lah, tunggu situ, Abe terus ke hospital sekarang"

Alhamdulillah urusan keluarga dan pihak hospital berjalan lancar, Jenazah abah dibawa balik ke rumah, masuk je simpang Pondok, sudah ramai yang menanti kepulangannya, mereka berlari mengiringi van jenazah hingga ke rumah.

Rupanya kata-kata abah semalam punya maksud tersirat " duduk dalam sehari dua". Pergi hospital pagi khamis, keluar hospital pagi Jumaat. Segala urusan memandikan jenazah juga berjalan lancar. Alhamdulillah ketika urusan memandikan jenazah, 5 anak lelaki abah sama-sama menguruskannya. Sebagai khidmat terakhir kami anak-anak lelaki, 4 orang meriba jenazah abah, sementara adinda Ahmad Azizi menyirami jenazah abah.

Selepas semuanya selesai, kaum keluarga, sanak saudara dan ustaz-ustaz, anak-anak murid serta kenalan abah diberi ruang untuk memberi penghormatan buat kali terakhir. Suasana pilu diruang tamu rumah, arwah abah tenang dengan wajah tersenyum disebalik kain kafan dan serban yang dipakaikan.

Jenazah kemudian diusung untuk di bawa ke Masjid, sampai sahaja di muka pintu rumah, laungan azan dikumandangkan oleh sepupu ambo Ustaz Khairul Anuar bin Khairi Warina Warina. Bertambah pilu suasana ketika itu. Kemudian jenazah dibawa ke masjid untuk disolatkan selepas solat Jumaat.

Rezeki arwah abah lagi, apabila MB kelantan ketika itu iaitu arwah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat juga datang menziarahi dan sudi menyampaikan khutbah pada hari tersebut. Masih ambo ingat antara mutiara katanya
" Kita hari ini sudah kehilangan insan yang banyak berjasa pada pondok dan masyarakat. Kita ni hidup umpama sekawan unta di padang pasir. Dalam banyak-banyak unta itu tidak semua unta tu boleh bagi manfaat. Tapi dalam banyak tu yang boleh bagi manfaat kpd org lain hanya beberapa kerat sahaja". Pesanan TGNA itu dapat difahami dengan jelas, bukan mudah untuk mencari insan yang banyak berjasa dan yang mampu memberi manfaat pada orang lain. Hargailah mereka selagi mereka ada. Kelihatan warga pondok mengesat air mata, tanda kesedihan di atas hilangnya seorang permata Pondok Pasir Tumboh. Arwah abah yang banyak menghabiskan usianya dan hartanya untuk melihat pondok terus subur.

Tanggal Jumaat 15 Zulhijjah 1424H bersamaan  6 Februari 2004M juga menyaksikan Masjid Pondok Pasir Tumboh yang 4 tingkat dipenuhi dengan kehadiran lautan manusia dari pelbagai lapisan masyarakat untuk solat Jumaat dan solat Jenazah, disamping memberi penghormatan terakhir kepada arwah Ayahanda.

Selesai solat, jenazah diusung ke pintu masjid, dan disambut dengan 3 kali laungan
TAKBIR.. ALLAHUAKBAR!!

Suasana di tanah perkuburan juga menyaksikan lautan manusia yang hadir. Hatta ada yang memanjat pokok rambutan semata-mata untuk melihat jenazah diturunkan ke liang lahad. Ahli Keluarga dan warga pondok serta sahabat² abah ramai yang silih berganti datang ke kubur dalam tempoh '40 hari tunggu kubur'. Damailah abah disana dengan iringan doa semua. Moga ditempatkan bersama para Solihin di Taman-taman Syurga. AMIN.

Sekian dulu coretan saya untuk kali ini, mudahan bermanfaat untuk semua. Insyaallah jika ada kesempatan saya akan coretkan sebuah lagi kisah aneh yang diceritakan sendiri oleh tuan empunya badan kepada saya mengenai diri Ayahanda.

Sama-sama kita sedeqahkan Al-Fatihah untuk Ayahanda Almarhum TG Haji Atiqullah bin Haji Yaacob.

Al-Fatihah.

Nukilan:
Muhd Taftazani bin Atiqullah
6 Februari 2019

1 ulasan:

  1. Dalam perjalanan ke Penang kelmarin 9/9/2022 singgah di Gunung Reng Jeli... terjumpa dgn us Baihaki dan adik beradik beliau yg ramai...mereka berfoto di muka Gua Gunung Reng...katanya beliau balik dari pergau inn bersama rombogan klrga...Saya perkenalkan diri sebagai junior beliau di Maahad Muhammadi....berulang-alik Kadok-Penang dah 15 th sebagai guru...Semoga us Baihaki dan adik beradik dlm keadaan sejahtera semuanya..

    BalasPadam

JAM SOLAT DIGITAL

JAM SOLAT DIGITAL
Berminat & masih tercari-cari, hubungi saya; 01120912912
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PAKEJ UMRAH RAYHAR TRAVEL

PAKEJ UMRAH RAYHAR TRAVEL
Jom Bersama Rayhar